Kata baru biasanya muncul dalam dalam suatu bahasa untuk mendukung konsep atau perkara yang baru timbul dalam masyarakat pengguna bahasa itu (Nik Safiah 1989: 239).
Apabila masyarakat berkembang, banyaklah konsep, benda, proses, keadaan atau kejadian baru yang memerlukan kata baru untuk mengungkapnya. Akmajian (1995; 24) turut menjelaskan bahawa kemasukan kata baru ini kerap kali berlaku apabila penutur mencipta kata baru untuk menamai objek yang tidak wujud sebelumnya yang terhasil daripada perubahan teknologi.
Kata atau istilah dapat dibentuk melalui pelbagai proses seperti pengimbuhan, penambahan, analogi, akronim, peluasan makna, penterjemahan dan peminjaman (Amat Juhari 1985). Menurut Sager (1996), pembentukan kata dapat terdiri daripada penggabungan fonem atau morfem yang benar- benar baru. Malah, menurut Umar (1987), tidak ada pembentukan kata baru sama sekali jika pembentukan kata itu tidak dihubungkan dengan peminjaman atau penggunaan kata lama secara baru. Oleh itu, pembentukan kata biasanya bergantung pada unsur leksikal yang sedia ada. Kebergantungan pada unsur yang sedia ada ini terjadi apabila suatu bahasa itu tidak mempunyai ungkapan yang tepat untuk tujuan tertentu dan penutur biasanya menerima ungkapan sedia ada dan meluaskan maknanya.
Secara amnya, teori bahasa sesuatu bahasa ialah tatabahasa. Tatabahasa bahasa menjadi asas untuk penglahiran bahasa yang indah dan mudah difahami oleh penggunanya. Oleh itu bahasa dapat diekplotasikan untuk mewujudkan gaya dan laras bahasa yang tersendiri. Dengan itu, bahasa mestilah tepat, lengkap, tuntas, lugas dan mudah difahami serta mencerminkan kebolehan dalaman penutur jati yang ideal.
DEFINISI PEMBENTUKAN KATA.
Nik Safiah Karim (2010), mendefinisikan perkataan ialah satu unit ujaran yang bebas dan mengandungi makna yang terdiri daripada satu atau gabungan beberapa bentuk bunyi bahasa. Perkataan dapat dibahagikan kepada empat jenis iaitu kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk dan kata ganda. Pembentukan kata dapat dilihat dari segi unsur-unsur yang membentuknya, yakni unsur-unsur yang bagaimana dan juga hubungan paradigmatik antara unsur-unsur berkenaan. Unsur-unsur yang mendirikan kata adalah morfem dan penelitian tentang gabungan morfem menjadi kata itulah yang dikenal sebagai morfologi.
PERBANDINGAN.
Dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2010), Nik Safiah Karim menyebut cara membentuk perkataan ini sebagai pembentukan katamanakala Abdullah Hassan di dalam Linguistik Am (2007), menyebutnya sebagai menerbitkan perkataan. Walaupun istilahnya berbeza tetapi membawa maksud yang sama iaitu tentang proses bagaimana cara membentuk perkataan dalam bahasa Melayu
Menurut Nik Safiah Karim (2010), bahasa Melayu mempunyai beberapa cara membentuk perkataannya iaitu:
- Bentuk kata tunggal.
- Bentuk kata terbitan.
- Bentuk kata majmuk.
- Bentuk kata ganda.
- Pengimbuhan.
- Penggandaan.
- Pemajmukan.
- Kata tunggal satu suku kata.
- Kata tunggal dua suku kata.
- Kata tunggal tiga suku kata.
- Kata tunggal empat suku kata dan lebih.
Kata tunggal satu suku kata.
Jumlah kata tunggal dengan satu suku kata dalam bahasa Melayu agak terhad. Ada antaranya merupakan pinjaman daripada bahasa asing terutamanya bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Ada juga perkataan yang merupakan kependekan bagi perkataan dua suku kata atau lebih. Misalnya ku untuk aku dan tu untuk itu. Tetapi perkataan sedemikian tidak dianggap perkataan satu suku kata.
Kata tunggal dua suku kata.
Sebahagian besar daripada perkataan dalam bahasa Melayu terdiri daripada dua suku kata. Antara pola kata tunggal dengan dua suku kata adalah seperti aku, aur, angka, indah, tua, kuih, guru, bakul, bangsa dan bintang.
Kata tunggal tiga suku kata.
Jumlah kata tunggal dengan tiga suku kata agak kecil jika dibandingkan dengan kata tunggal dua suku kata. Namun begitu, pola- pola susunan konsonan- vokalnya agak banyak. Kebanyakan perkataan tiga suku kata ini terdiri daripada kata- kata pinjaman. Contohnya, tuala, ziarah, idea, deria, azali, istana, sutera, jendela, akaun dan gelombang.
Kata tunggal empat suku kata dan lebih.
Terdapat sebilangan kecil kata tunggal yang terdiri daripada empat suku kata dan lebih. Kebanyakan perkataan ini ialah kata pinjaman. Antara contohnya ialah keluarga, bijaksana, mandalika, dinihari, kapitalis, universiti dan maharajalela.
Selain itu, kata akronim juga tergolong ke dalam jenis kata tunggal. Kata akronim boleh ditulis dengan cara:
- Gabungan beberapa huruf awal rangkai kata – ABIM.
- Gabungan suku kata dengan huruf awal atau dengan suku kata – Mara.
- Gabungan suku kata dengan suku kata – tabika.
Bentuk Kata Terbitan / Pengimbuhan.
Di dalan buku Tatabahasa Dewan (2010), Nik Safiah Karim menerangkan kata terbitan ialah bentuk perkataaan yang dihasilkan melalui proses pengimbuhan iaitu proses menggandingkan imbuhan pada kata dasar. Pengimbuhan ini melahirkan bentuk perkataan yang disebut kata terbitan. Imbuhan terdiri daripada morfem terikat sementara kata dasar ialah bentuk morfem bebas yang dapat menerima imbuhan. Hanya segelintir kata dasar merupakan morfem terikat yang disebut akar. Imbuhan ialah bentuk morfem yang tidak boleh hadir bersendirian dalam ayat iaitu harus diimbuhkan pada bentuk yang lain yang merupakan kata dasar. Berdasarkan kepada kedudukannya pada kata dasar, imbuhan dapat dibahagikan kepada empat jenis iaitu :
1.Kata terbitan berawalan (hadir sebelum kata dasar)
- Awalan kata nama.
- Awalan kata kerja.
- Awalan kata adjektif.
- Akhiran kata nama.
- Akhiran kata kerja.
- Apitan kata nama.
- Apitan kata kerja.
- Apitan kata adjektif.
- Kata Nama.
- Kata Adjektif.
- Kata Kerja.
- Awalan (dicantumkan pada pangkal kata dasar)
- Akhiran (dicantumkan pada akhir kata dasar)
- Sisipan (disisip selepas konsonan pertama kata dasar)
- Apitan (dicantum pada pangkal dan akhir kata dasar serentak)
Bentuk Kata Majmuk / Pemajmukan
Menurut Tatabahasa Dewan (2010), proses pemajmukan adalah proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih dan bentuk yang terhasil membawa makna yang khusus. Kata majmuk dieja terpisah dan bertindak sebagai satu unit iaitu bentuknya tidak boleh menerima sebarang penyisipan unsur lain. Misalnya, kerusi malas ialah kata majmuk kerana tidak dapat disisipkan unsur lain seperti ‘yang’. Sebaliknya pinggan mangkuk bukan kata majmuk kerana dapat diselitkan kata hubung ‘dan’. Berdasarkan jenisnya, kata majmuk dibahagikan kepada tiga kelompok iaitu:
- Kata majmuk yang terdiri daripada rangkaikata kata bebas.
- Kata majmuk yang berbentuk istilah khusus.
- Kata majmuk yang mendukung maksud kiasan.
Di samping itu, terdapat sejumlah perkataan yang bukan kata majmuk yang tergolong dalam golongan kata tertentu yang secara lazimnya dieja bercantum. Contohnya, peribadi, barangkali dan sukacita. Penggandaan kata majmuk melibatkan penggandaan unsure pertama sahaja. Contohnya, alat- alat tulis. Satu kecualian ialah penggandaan yang melibatkan bentuk yang telah mantap. Penggandaannya melibatkan keseluruhan unsur. Contohnya, warganegara- warganegara. Kata majmuk juga boleh menerima imbuhan untuk menghasilkan kata terbitan. Pengimbuhan kata majmuk terdapat dalam dua bentuk iaitu;
- Apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan awalan atau akhiran sahaja, ejaannya tetap terpisah. Contohnya, campur aduk - bercampur aduk.
- Apabila kata majmuk menerima imbuhan yang merupakan apitan, ejaannya menjadi bercantum. Contohnya, satu padu – menyatupadukan.
Apabila kata- kata tersebut bergabung menurut hukum binaan sintaksis bahasa Melayu, iaitu diterangkan mendahului yang menerangkan, maka kita katakan binaan itu mematuhi hukum DM. Kata majmuk demikian dipanggil kata majmuk sintaktik. Contohnya ialah kaji cuaca dan sebar luas. Apabila kata majmuk itu bergabung dengan tidak menurut hukum DM, maka binaan kata majmuk demikian dipanggil kata majmuk bukan sintaktik. Contohnya ialah bumiputera dan mahasiswa. Kata bumi ialah penerang dan putera ialah inti yang diterangkan. Ini bermakna binaan ini menurut hukum MD iaitu yang menerangkan mendahului inti yang diterangkan.
Menurut Abdullah Hassan (2007), kata majmuk ialah binaan morfologi tetapi frasa ialah binaan sintaksis. Tiga ciri yang menunjukkan k
- Kata majmuk mempunyai makna khas sebagai satu perkataan.
- Kata majmuk mempunyai siri kesatuan sebagai satu kata.
- Kata majmuk terdiri daripada satu kumpulan tertutup.
Bentuk Kata Ganda / Penggandaan.
Mengikut Nik Safiah, proses penggandaan dalam bahasa Melayu ialah proses yang menggandakan kata dasar. Dalam proses ini, kata dasar boleh mengalami penggandaan penuh, penggandaan separa dan penggandaan berentak iaitu berdasarkan rentak bunyi tertentu. Dalam bahasa Melayu terdapat tiga jenis penggandaan iaitu:
- Penggandaan penuh
- Penggandaan separa
- Penggandaan berentak
Penggandaan penuh ialah proses yang menggandakan keseluruhan kata dasar sama ada kata dasar itu mengandungi imbuhan ataupun tidak.
1.Penggandaan penuh kata tunggal – contohnya ialah ayat- ayat.
2.Penggandaan penuh kata berimbuhan.
- Dengan awalan – contohnya ialah ketua- ketua.
- Dengan akhiran – contohnya ialah ajaran- ajaran.
- Dengan apitan – contohnya persatuan- persatuan.
Penggandaan separa ialah proses yang menggandakan sebahagian kata dasar sahaja. Kata dasar boleh merupakan kata tunggal ataupun kata terbitan.
1.Penggandaan separa kata tunggal – contohnya ialah sesiku.2. Penggandaan separa kata berimbuhan .
- Dengan awalan kata kerja- contohnya ialah berlari- lari dan tolong- menolong.
- Dengan awalan kata adjektif – contohnya ialah sepandai- pandai.
- Dengan akhiran kata nama – contohnya ialah sayur- sayuran.
- Dengan akhiran kata kerja – contohnya ialah doa- doakan.
- Dengan akhiran kata adjektif – contohnya ialah rindu- rinduan.
- Dengan apitan kata kerja – contohnya ialah bersalam- salaman, mendewa- dewakan, mengulang- ulangi dan dibayang- bayangi.
- Dengan apitan kata adjektif – contohnya ialah kebodoh- bodohan.
Penggandaan berentak ialah proses yang menggandakan kata dasar mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar itu. Dalam penggandaan berentak, seluruh kata dasar digandakan dan bunyi- bunyi tertentu diulang atau diubah. Berdasarkan perubahan dan pengulangan bunyi- bunyi demikian, maka penggandaan berentak dibahagikan kepada tiga jenis iaitu:
- Penggandaan berentak pengulangan vokal.
- Penggandaan berentak pengulangan konsonan.
- Penggandaan berentak bebas.
- Gandaan penuh.
- Gandaan separa.
- Gandaan rentak.
- Gandaan bebas.
Gandaan penuh boleh dilakukan pada kata akar dan kata terbitan daripada golongan kata nama, kata kerja dan kata adjektif.
1. Kata Nama (membawa maksud banyak dan menyerupai). Contohnya:
- meja- meja ( banyak meja).
- Orang- orang (banyak orang atau lembaga orang bagi menakutkan burung di sawah)
- Makan- makan (makan berterusan)
- Main- main (main berterusan, tidak serius melakukan sesuatu)
- Putih- putih (putih belaka)
- Sampai- sampai (sebaik sahaja sampai)
- Pemain- pemain (ramai pemain)
Penggandaan separa adalah kelainan bentuk penggandaan penuh yang berlaku kepada kata nama tunggal. Seluruh kata tunggal boleh digandakan atau hanya suku kata pertama digandakan. Bunyi vokal dalam suku kata yang digandakan itu berubah menjadi e pepet. Kata ganda separa membawa maksud yang sama dengan kata ganda penuh. Contohnya:
- Kata Nama – laki ->laki- laki = lelaki (jantan, ramai laki- laki)
- Kata Kerja – tulis ->tulis- tulis =tetulis ( menulis berkali- kali)
- Kata Adjektif – sedap ->sedap- sedap =sedap (sedap belaka)
- Kata Adverba – laju -> laju- laju =lelaju (dengan laju)
Ada beberapa kata nama yang boleh menerima penggandaan rentak sama ada rentak suku kata atau berentak bunyi. Fungsi gramatis penggandaan rentak ialah menunjukkan banyak yang beraneka. Perubahan suku kata atau bunyi vokal memberi tambahan aneka kepada pengertian banyak yang sudah ada pada kata ganda tersebut. Terdapat tiga jenis penggandaan rentak iaitu :
- Rentak suku kata awal – bukit =bukit- bukau
- Rentak suku kata akhir – lauk =lauk- pauk
- Rentak bunyi vokal – suku =suku – sakat
Bentuk gandaan bebas mengandungi bentuk bebas. Bentuk kata dasar itu ada tetapi gandaannya hanya wujud dalam bentuk penggandaan sahaja. Fungsi gramatisnya juga menunjukkan banyak. Bilangan penggandaan begini tidak banyak. Contohnya ialah:
- ipar ipar- duai (ramai ipar)
Rangkap kata berbeza daripada kata ganda. Dalam gandaan, ada kata dasar yang digandakan. Dalam rangkap kata, kedua- dua perkataan itu adalah perkataan lain sama sekali. Sebagai contoh cerdik pandai ialah rangkap kata. Bentuk perkataan pandai bukanlah pengganda kepada cerdik. Sebaliknya pandai ialah pasangan rangkap kepada cerdik. Oleh sebab itu, rangkap kata bukanlah kata bebas.
Kata Ganda dan Imbuhan.
Perkataan berganda juga berlaku dengan imbuhan. Bagi kata nama, penggandaan mestilah berlaku di awal, di akhir atau mengapit kata dasar yang digandakan. Kata ganda nama boleh menerima imbuhan ber-, -an, me-…-kan dan di-…-kan. Contohnya:
- Dengan awalan- ber + hari- hari=berhari- hari
- Dengan akhiran – ber + bunga- bunga=berbunga- bunga.
- Dengan apitan – dikepal- kepalkan
- Dengan awalan di tengah – rayu- merayu.
Kesimpulannya, menurut Nik Safiah Karim (2010), terdapat empat jenis pembentukan kata dalam bahasa Melayu iaitu kata tunggal, kata terbitan , kata majmuk dan kata ganda seperti yang terdapat di dalam buku Tatabahasa Dewan (2010). Manakala menurut Abdullah Hassan (2007), pula terdapat tiga kaedah untuk menerbitkan perkataan dalam bahasa Melayu iaitu melalui pengimbuhan, penggandaan dan pemajmukan. Ini kerana di dalam buku Linguistik Am (2007), tidak ada cara menerbitkan perkataan melalui kaedah bentuk kata tunggal. Walaupun berbeza dari segi istilah tetapi kaedah pembentukannya adalah sama.
Kaedah pembentukan perkataan seperti yang terdapat dalam bahasa Melayu ini berbeza daripada kaedah pembentukan atau mewujudkan perkataan-perkataannya melalui proses perubahan fonem (bunyi bahasa) dalam kata dasar itu sendiri dengan berdasarkan golongan kata atau kasusnya.
Proses pembentukan kata atau menerbitkan perkataan di antara kedua- dua buku ini hampir sama walaupun istilah yang digunakan berbeza. Contohnya, buku Tatabahasa Dewan (2010), menyebut kata terbitan manakala buku Linguistik Am (2007), menyebut perkataan pengimbuhan. Begitu juga dengan kata majmuk yang disebut sebagai pemajmukan manakala kata ganda disebut sebagai penggandaan di dalam buku Linguistik Am.
Selain jenis-jenis perkataan yang telah dinyatakan di atas, terdapat juga bentuk yang dihasilkan melalui proses penyingkatan kata yang menghasilkan kata tunggal jenis akronim. Menurut Abdullah Hassan, ada tiga proses morfologi yang berlaku dalam bahasa Melayu iaitu pengimbuhan, penggandaan dan pemajmukan. Proses ini dilakukan kepada bentuk dasar. Dasar ini akan membentuk imbuhan apabila mengalami proses pemgimbuhan, bentuk yang digabungkan dengan bentuk perkataan lain akan menghasilkan proses pemajmukan. Begitu juga yang terjadi bagi proses penggandaan dan pengakroniman. Ditegaskan bahawa bentuk dasar boleh terdiri daripada satu kata akar atau kata terbitan. Kata terbitan ini pula terdiri daripada kata berimbuhan, kata ganda, kata majmuk dan kata akronim.
Menurut Abdullah Hassan (2007), pengimbuhan ialah proses membentuk perkataan melalui proses imbuhan. Ini dilakukan dengan mencantumkan imbuhan kepada kata dasar. Imbuhan dalam bahasa Melayu mempunyai tiga fungsi iaitu membentuk kata terbitan, mengubah golongan kata dan mencipta perkataan baharu. Pengimbuhan juga satu proses menerbitkan kata dengan memberikan atau mencantumkan imbuhan dengan kata dasar. Melalui proses ini, akan terhasil kata terbitan. Terdapat empat jenis imbuhan atau afiksasi dalam bahasa Melayu iaitu awalan ,akhiran, sisipan dan apitan. Abdullah Hassan menghuraikan pengimbuhan kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata adverba. Manakala Nik Safiah hanya menghuraikan awalan kata nama, kata kerja dan kata adjektif. Selain itu, Nik Safiah membahagikan bentuk kata terbitan kepada empat iaitu kata terbitan awalan, kata terbitan akhiran, kata terbitan berapitan dan kata terbitan bersisipan. Abdullah Hassan pula membahagikan pengimbuhan kepada tiga sahaja iaitu imbuhan awalan, imbuhan akhiran dan imbuhan apitan.
Walau bagaimanapun, dalam proses pembentukan kata melalui kata majmuk atau pemajmukan terdapat perbezaan dari segi huraian. Nik Safiah membahagikan bentuk kata majmuk kepada tiga iaitu kata majmuk yang terdiri daripada rangkaian kata, berbentuk istilah khusus dan yang mendukung maksud kiasan. Abdullah Hassan pula menghuraikan proses menerbitkan kata melalui pemajmukan dengan lebih terperinci dan membahagikannya kepada tiga iaitu kata majmuk yang mempunyai makna khusus, dari satu perkataan dan kumpulan kata majmuk tertutup.
Untuk pembentukan kata melalui kata ganda atau penggandaan, di dalam buku Tatabahasa Dewan terdapat tiga jenis penggandaan iaitu penggandaan penuh, penggandaan separa dan penggandaan berentak. Manakala, di dalam buku Linguistik Am terdapat empat jenis penggandaan iaitu gandaan penuh, gandaan separa, gandaan rentak dan gandaan bebas. Huraian menerbitkan kata di dalam buku Linguistik Am adalah lebih terperinci.
Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa kedua- dua buku ini ada banyak perbezaan pendapat dan huraian tentang pembentukan kata atau menerbitkan perkataan di dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit persamaan dalam sesetengah huraian dan penerangan untuk membentuk kata. Walau bagaimanapun, kedua- dua buku ini amat bermanfaat dan dapat membantu dalam mempelajari proses pembentukan kata bahasa Melayu. Selain itu, kedua- dua buku ini amat menarik dan boleh dijadikan pegangan dalam mempelajari dan mendalami tatabahasa bahasa Melayu khususnya dalam bidang morfologi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan